JELEBU: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan yang beliau campur tangan dalam urusan penentuan kontrak pemain Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) termasuk membuat keputusan menamatkan kontrak bekas kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak.

Beliau menegaskan, tiada bukti untuk mengaitkan dirinya terlibat dalam urusan kontrak pemain ditambah pula pasukan NSFC kini di bawah pentadbiran dan pengurusan baharu.

"Jangan buat fitnah di bulan Ramadan. Baru dua hari berpuasa dah buat fitnah kepada saya.

"Cakap kepada dia, apa bukti saya campur tangan dalam urusan bola sepak pemain? Saya harap dengan adanya pengurusan baharu, pentadbiran baharu dan Exco baharu, ia akan berjalan dengan baik dan teratur selepas ini," katanya ditemui pada Majlis Pemuktamadan Pembinaan 27 Menara Telekomunikasi Baharu Pelan Jendela Fasa 1 di Kampung Rambai Baris di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penamatan kontrak Zaquan Adha dengan pasukan bola sepak Negeri Sembilan yang didakwa mempunyai kaitan dengannya.

Tambah Aminuddin, sebagai Menteri Besar, beliau sememangnya mengharapkan segala sumber kewangan yang diterima NSFC dapat dibelanjakan dengan betul sekali gus bagi meningkatkan mutu permainan bola sepak negeri.

"Kita rasa ada negeri lebih rendah bajetnya, tapi lebih berjaya daripada Negeri Sembilan, sedangkan kita yang lebih sedikit (bajetnya), tapi tak ke mana.

"Jadi ini yang harus kita persoalkan kepada dia (Zaquan Adha) bukan dia persoalkan saya. Saya minta jangan memfitnah saya," katanya.

Sebelum ini menerusi temu bual bersama Astro Arena, Zaquan Adha meluahkan rasa kecewa atas cara penamatan kontraknya bersama Negeri Sembilan memandangkan dia hanya diutuskan sekeping surat.

"Malam Ramadan pertama, saya hanya menerima sekeping surat, kontrak saya tidak disambung.

"Saya reda, mungkin rezeki saya sampai di sini. Apabila sudah di penghujung baru dapat surat, perancangan saya jadi terjejas. Kerana mana lagi pasukan saya mahu pergi, saya mahu cari?

"Saya rasa, saya terima dengan hati terbuka bahawa rezeki saya setakat di sini bersama dengan NSFC," katanya. - Sinar Harian